Thursday, October 27, 2011

ANAK TERBAIK BUMI AFRIKA





JAWAPAN SAYA KEPADA TUAN




Tuan yang saya muliakan:

Tuan menulis kepada saya dan bertanya kenapa saya memberi penghormatan kepada Gadaffi. Kenapa saya tidak menulis dan mengutuk Kolonel Gadaffi. Tuan terus bertanya dan menghambat dengan soalan kenapa saya bersimpati dengan seorang ditaktor yang telah merampas kuasa semenjak tahun 1969. Tuan bertanya apakah saya tidak tahu bahawa selama 42 tahun ini Libya tidak pernah melihat kepimpinan selain dari Kolonel Gadaffi. Kenapa saya tidak menulis tentang kezaliman yang berlaku di Libya.

Tuan yang saya muliakan,

Saya juga disedarkan bahawa Kolonel Gadaffi ini telah memberi pembelajaran percuma dari sekolah rendah hingga ke universiti di Libya. Saya juga sedar bahawa Gadaffi memberi warga Libya perubatan percuma. Saya juga sedar yang Gadaffi telah menggunakan duit minyak petrol untuk membuat rumah dan memberikan secara percuma kepada warga Libya.

Saya juga sedar Gadaffi memberi sokongan kepada banyak perjuangan pembebasan antarabangsa pada tahun-tahun 70’an dahulu. Sokongan dana dan diplomatik untuk PLO, Japanese Red Army, IRA dari Ireland Utara, ETA dari Sepanyol – termasuk juga menyokong dan memberi dana dan senjata kepada Moro National Liberation Front dari Mindano.

Dalam masa yang sama - saya amat sedar bahawa ruang demokrasi amat sempit di Libya. Saya sedar Gadaffi memerintah Libya tanpa ada pemilihan. Gadaffi naik tahtha kerana rampasan kuasa. Dalam hal ruang demokrasi saya tidak bersama menyokong Gaddafi.

Malah ketika Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), ABIM, Persatuan Bahasa Melayu Universiti Melaya (PBMUM) - mengangkat dan menjulang Kolonel Gadaffi pada tahun tujuh puluhan dahulu – saya secara sinis telah mentertawakan kumpulan kumpulan ini. Ketika ini Gaddafi sedang menjual agama dengan Buku Hijaunya. Gadaffi membuat Buku Hijau kerana Pengerusi Mao pada ketika itu ada Buku Merah. Saya tersenyum sinis apabila melihat kumpulan-kumpulan Islam amat senang ditipu. Saya perhatikan mereka memiliki kecetekkan fikrah dan gagal untuk memahami konsep ruang demokrasi yang lebih luas.

Ini berlaku lebih dari 30 tahun dahulu. Ini ketika saya telah bangun menyokong perjuangan adil rakyat Vietnam. Kita saya menyokong pejungan rakyat Kamboja. Kita kami anak muda keluar ke jalan raya untuk bersetiakawan dengan rakyat Palestine dan warga Afrika Selatan. Ketika ini anak muda seluruh dunia sedang bangun melawan kuasa imperialis Anglo-Amerika.

Biar saya jelaskan disini. Saya tidak pernah menghalalkan apa sahaja bentuk kezaliman. Sama ada kezaliman yang dilakukan kerana idealoji kiri seperti di Russia dan di China, atau kerana dogma agama di Iran dan Pakistan atau atas nama keselamatan seperti di Malaysia dan di Israel. Kezaliman adalah kezaliman tidak kira dari mana datangnya. Yang dizalimi tetap terseksa.

Tuan yang saya hormati,

Disini biar saya luaskan pandangan siasah agar kita bukan hanya memahami Gaddafi dengan Buku Hijaunya atau dengan Libya wujud tanpa pilihanraya. Saya ingin membuka wacana yang lebih luas. Dalam bahasa German, saya ingin membuka wacana realpolitik – politik yang dieja dengan huruf k. Saya harapkan apa yang saya huraikan ini akan membuka fikrah kita bersama untuk melihat tanda dan makna politik yang sedang berlaku dihadapan mata kepala kita.

Tuan yang saya hormati,

Libya ialah anggota OPEC – negara pengeluar minyak. Ertinya Libya negara kaya. Ertinya jika duit minyak tidak digunakan secara membazir. Atau digunakan hanya untuk isteri Gadaffi membeli intan berlian dari kedai Jacob di New York atau membeli beg tangan Jane Birkin – sudah pasti warga Libya tidak hidup lumayan. Ini tidak berlaku di Libya justeru pendapatan warga Libya adalah yang tertinggi di Afrika.

Sebagai anggota OPEC kelihatan Libya dibawah pimpinan Kolonel Gadaffi selalu membantah keputusan dan cadangan OPEC yang diajukan oleh Saudi Arabia. Arab Saudi sering mengajukan dasar pengeluaran minyak yang tidak akan menggangu gugat sistem ekonomi kapitalis yang dikepali oleh Amerika Syarikat. Saudi mahu harga minyak petrol terus rendah. Amat jelas - Raja Saudi adalah budak suruhan Amerika yang paling setia. Raja Saudi akan menjaga kepentingan ekonomi kapitalis Amerika lebih baik dari menjaga Makam Nabi. Dasar Saudi yang pro Amerika inilah yang sering ditibai oleh Gadaffi.

Apa yang ingin saya nyatakan disini ialah dalam politik antarabangsa Gadaffi ini ialah sosok anti imperialis. Justeru sokongan Libya terhadap gerakan pembebasan antarabangsa pada tahun tahun 70an dahulu wajib dilihat dalam konteks ini. Kerana anti imperialis ini Gadaffi ialah ‘ budak jahat’ dalam kitab rujukan Rumah Puteh. Kolonel ini tidak disukai oleh kuasa Anglo-Amerika. Kolonel Gadaffi tidak disukai oleh Shell, Esso, BP atau Cheveron Oil – kerana semua syarikat ini dikekang dari masuk menjarah minyak di Libya.

Dalam pandangan geopolitik kaum imperialis dan kaum pemodal antarabangsa Gaddafi telah membuat beberapa kesalahan. Biar saya terangkan kesalahan Gadaffi ini. Kesalahan-kesalahn inilah yang membuatkan bala tentera NATO datang menyerang Libya dan membunuh Gadaffi.

Tuan yang saya muliakan biarkan saya senaraikan satu demi satu kesalahan Kolonel Gadaffi ini. Di harapkan tuan akan terbuka mata dan hati untuk memahami siasah dunia dengan lebih lengkap. Jika tuan memahami ini maka saya berharap tuan memahami kenapa saya menyokong Gadaffi.

Pertama:
Gaddafi telah mengeluarkan dana lebih dari 300 juta dolar Amerika untuk membuat sistem Satelit Afrika. Sistem satelit ini membolehkan 42 negara-negara Afrika berkomunikasi bebas dari kongkongan sistem komunikasi syarikat-syarikat Eropah. Saban tahun sebelum adanya sistem Satelit Afrika ini – negara negara Afrika terpaksa membayar 500 juta dolar satu tahun harga sewaan. Gaddafi membebaskan negara Afrika. Kaum pemodal antarabangsa lesap mata pendapatan sebanyak 500 juta dolar setahun.

Kedua:
Gadaffi telah merancang untuk menubuhkan AMF – African Monetary Fund. Lembaga AFM ini berperanan seperti International Monetary Fund (IMF)– meminjamkan dana untuk negara Afrika yang memerlukan. Bezanya AMF ini bukan untuk mencari keuntungan. AMF ini bukan untuk memberi hutang atau menjadi Along untuk negara Afrika. AMF bertujuan membebaskan negara-negara Afrika dari sistem penjajahan ekonomi yang sedang memiskin benua ini.

Lembaga AFM ini juga akan mewujudkan Central Bank of Africa yang beribu pejabat di Abuja Nigeria. Ini bererti nilai duit Afrika bukan lagi ditetapkan oleh dolar, bukan lagi ditetapkan oleh pound sterling atau ero. Dengan wujudnya Central Bank of Afrika ini maka putuslah penjajahan ekonomi kaum pemodal antarabangsa dengan benua Afrika.

Gadaffi juga akan mewujudkan Africa Bank of Investman a yang beribu pejabat di Libya. Tujuan bank ini ialah untuk mencari modal dan melabor di negara-negara Afrika. Semua lembaga keewangan ini akan diwujudkan pada tahun 2011. Semua perancagan telah berjalan dengan lancar. Semua perjanjian telah ditanda tangani. Kini semuanya tinggal impian. Kini semuanya dimusnahkan oleh serangan Nato.

Ketiga:

Kuasa imperial Anglo-Amerika tidak mahu Afriak bebas. Kuasa imperialis mahu rakyat Afrika terus bodoh dan dibodohkan. Ramai warga Afrika datang belajar di Libya. Sistem pembelajaran pecuma di Libya menjadi ancamaan kepada kaum pemodal. Bertambahnya warga Afrika yang bijak bermakna berkurang pula pengaruh kuasa pemodal antarabangsa di Afrika. Justeru, kaum pemodal antarabangsa mahu Afrika terus diperintah oleh para ditaktor seperti Mobutu Sese Seko, Idi Amin Dada atau Emperor seperti Bokasa.

Melalui Lolonel Gadaffi kesatuan African Union menjadi satu organisasi yang bukan sahaja beretorik tetapi berupaya melakukan sesuatu. Melalui duit minyak Gadaffi telah menyalurkan dana yang banyak ke negara-negara Afrika. Ini dilihat oleh kaum pemodal sebagai satu yang bahaya. Sebagai satu ancaman. Bahaya kerana jika Afrika bangun membina negara mereka sendiri maka kaum pemodal antrabangsa dan kehilangan tempat untuk merompak dan menjarah kekayaan.

Tuan yang saya hormati,

Tiga pekara yang telah dilakukan oleh Gadaffi ini telah dengan terang-terang menentang kepentingan kaum kapitalis antrabangsa. Semua ini adalah jenayah Gadaffi terhadap kaum pemodal antrabangsa. Semua ini adalah kesalahan Gadaffi terhadap imperialis Anglo-Amerika. Jelas, apa yang saya tuliskan bukan jenayah Gadaffi terhadap warga Libya. Ini bukan bermakna Gadafy ini seorang sosialis – tidak. Apa yang Gadaffi lakukan ialah secara jujur dia ingin membebaskan Afrika dari cengkaman kaum pemodal antarabangsa.

Tuan yang saya hormati,

Pekara yang saya tulis ini tidak akan dilaporkn oleh CNN, BBC, New York Times , Washington Post atau pun Utusan Melayu. Tidak ada media arus perdana yang berani menyentuh pekara ini. Laporan yang kita baca, dengar dan tonton hanya menyatakan bahawa warga Libya telah bangun menentang Kolonel Gadaffi. Apakah ini betul?

Saya hanya ada satu pemintaan kepada tuan yang saya hormati. Sila cari gambar, sila cari klip di YouTube, sila selidiki semua media dunia – adakah pernah tuan ternampak beribu-ribu anak anak muda berkumpul menentang Gadaffi seperti di Dataran Tahrir? Adakah tuan pernah terlihat gambar puluhan ribu rakyat Libya berdemo menentang Gadaffi seperti demo Bersih 7 Julai dahulu? Atau ternampak gambar beribu-ribu anak anak muda berdemo dan terus bermalam berminggu-minggu di Benghazi?

Tidak. Tuan jangan membuang masa. Imej ribuan anak muda Libya berdemo ini tidak wujud. Kerana bukan warga Libya yang bangun menyerang kerajaan Gadaffi. Yang datang menyerang ialah soldadu upahan Amerika dan jet pengebom Nato yang bertungkus lumus siang dan malam menyerang Libya. Sejarah Libya ini tidak tamat disini. Saya akan sambung lagi minggu hadapan.(TT)

Wednesday, June 29, 2011

KEBAJIKAN UNTUK SEMUA

KEBAJIKAN UNTUK SEMUA

Saya meneruskan tulisan minggu ini dalam usaha saya untuk menerangkan kosep dan falsafah Negara Kebajikan. Saya berharap tulisan ini dapat memberi sadikit pencerahan kepada pembaca yang budiman tentang ekonomi dan politik Negara Kebajikan

Saban hari kita semua ada membaca, ada mendengar dan mungkin melihat di kaca Tv bagaimana parti-parti politik bukan sahaja di Malaysia malah diseluruh dunia cuba mengajukan dasar ekonomi kepada warga. Justeru perjuangan politik adalah pejuangan untuk merebut peluang ekonomi. Perjuangan politik ialah perjuangan agihan punca-puca ekonomi. Khalas.

Ada dua sistem ekonomi telah diwujudkan dalam dunia ini – sistem ekonomi kapitalis dan sistem ekonomi sosialis. Dua bentuk sistem ekonomi ini bertentangan antara satu sama lain. Akidah sistem ekonomi kapitalis ialah: keuntungan maksima sebagai pemandu. Manakala akidah sistem ekonomi sosialis ialah : kebajikan ramai menjadi kemudi.

Sistem ekonomi inilah yang melahirkan budaya, yang melahirkan nilai dan mewujudkan lembaga-lembaga daulah. Di hadapan mata kita sekarang – yang berlaku disekeliling kita, budaya kehidupan dalam negara kita ini – semuanya diwujudkan dari sistem ekonomi kapitalis.

Sistem ekonomi adalah injin ketamadunan negara bangsa. Di zaman Firaun – sistem ekonomi feudal telah memaksa warga Mesir untuk menjadi hamba abdi mendirikan Pyramid. Di Tanah Melayu sistem feudal telah membenarkan Raja memungut cukai atau mengambil anak dara yang cun untuk dijadikan gundek.

Sistem ekonomi kapitalislah yang melahirkan budaya konsumer yang kita lihat di Amerika, di negara Arab, di Eropah, di Jepun dan diikuti di Kuala Lumpur. Tidak ada budaya bangsa atau sosok individu yang akan terlepas bebas dari hegemoni sistem ekonomi. Sistem ekonomi merangkumi semua sudut cabang kehidupan manusia moden.

Di Malaysia kita tidak ada peluang memahami agar dapat menilai apakah dia sistem ekonomi sosialis yang dikatakan ada potensi untuk melahirkan Negara Kebajikan. Kekurangan pemahaman kita terhadap sistem elternatif kepada sistem kapitalis ini memiliki sebab-sebab sejarah. Di zaman Perang Dingin, kuasa Anglo-Amerika terutama Amerika Syarikat negara imperial yang unggul telah menaburkan propaganda untuk memburuk dan menakut-nakutkan rakyat dunia tentang sistem ekonomi sosialis.

Propaganda buah catur mereka licik dan menarik. Propaganda berjalan secara tersusun dan dirancang. Untuk umat Islam telah dikatakan bahawa sistem ekonomi sosialis ini ‘tidak bertuhan’. Kepada kaum tani, pesawah dan peladang dihujahkan jika mereka menyokong kelahiran ekonomi sosialis maka satu ketika nanti bukan sahaja mereka kehilangan tanah ladang malah bajak, kerbau dan isteri mereka juga wajib di kongsi.

Untuk pekedai kecil atau tuan tanah yang memiliki saekar dua kebun getah – mereka ditakut-takutkan dengan kehilangan mata pencarian. Tanah sekangkang kera atau kedai runcit mereka akan dimilik negarakan jika ekonomi sosialis ingin diwujudkan.

Kepada kaum buruh pula mereka ditakut-takutkan yang mereka akan hilang pekerjaan dan hanya akan menjadi ‘kuli batak’. Tenaga kerja mereka akan hilang dan hanya memburuh uintuk memboncitkan perut para birokrat daulah yang tidak melakukan apa-apa pekerjaan.

Propaganda , fitnah dan pembohongan ini dijalan dengan perancangan media yang tersusun. Dengan wujudnya jaringan pendakwah kapitalis yang diberi upah lumayan. Dengan para kang kong di universiti yang terus besedia untuk menerima upah bersuara. Maka propaganda anti-Negara Kabajikan ini meluas dan melebar.

Dalam negara kita ini – sebut sahaja satu sistem alternatif kepada sistem yang ada sekarang ianya akan menjemput pelbagai tuduhan dan momokan. Warga akan ditakut-takutkan, warga akan diancam dengan pelbagai ancaman jika warga berani memikirkan tentang satu sistem ekonomi yang berkemungkinan melahirkan Negara Kebajikan.

Sistem ekonomi kapitalis yang sedia wujud hari ini telah dan sedang sama-sama kita rasai. Kita juka melihat bagaimana hegemoni sistem kapitalis ini bergerak dan memperngaruhi seluruh kehidupan kita. Pembohongan demi pembohongan telah diwujudkan untuk mengkaburi mata kita. Kita dilalaikan dengan pelbagai bentuk budaya konsumer – dari kasut Prada hingga ke program Imam Muda. Semua dilahirkan agar kita semua akan tunduk menyembah sistem ekonomi kapitalis ini.

Bagaimana agaknya sistem alternatif kepada sistem kapitalis ini?

Awal wahid – sistem yang akan melahirkan Negara Kebajikan ini adalah sistem ekonomi dimana semua punca-punca pengeluaran akan dimilik negarakan. Punca-penca pengeluaran ini bukan tanah Felda sepuluh ekar, bukan kedai runcit Ah Lek di Bongek. Bukan tanah sawah Lebai Kassim di Kuala Kedah. Bukan sangkar ikan patin Ripin Ali di Temerloh. Juga bukan teksi Maniam dari Cheras.

Kalau semua ini bukan jadi apa dia punca punca pengeluaran ekonomi ?

Apa yang dimaksudkan punca-punca pengeluaran ini adalah aktiviti ekonomi yang menjadi tulang belakang ekonomi negara kita. Tulang belakang ekonomi membawa maksud apa sahaja aktiviti ekonomi yang asas mata pencarian majoriti penduduk negara ini. Mata pencarian dimana majoriti warga bergantung. Punca-punca pengeluaran yang dianggap tulang belakang ekonomi ini akan melahirkan aktiviti ekonomi yang mempengaruhi kepentingan majoriti dan keseluruhan negara.

Untuk memahami dengan jelas biar saya beri contoh apakah dia punca-punca ekonomi yang mempengaruhi kehidupan majoriti warga negara ini. Contoh terbaik ialah kuasa tenaga api leterik, jalan raya, jalan udara, hospital, sistem pengangkutan, telaga minyak dan lombong gas, bank dan lembaga kewangan, lombong galian, hutan dara, danau dan paya. Semua ini adalah punca-punca ekonomi.

Untuk melahirkan sebuah Negara Kebajikan semua punca-punca pengeluaran ini wajib dimilik negarakan. Lalu timbul persoalan – bukankah ini harta persendirian?

Memang betul dan tepat ladang sawit Lebai Sudin 10 ekar di Senaling adalah contoh harta persendirian. Lebai Sudin mengerjakan tanah sawit ini anak beranak. Tetapi Ladang Sawit Hock Leng 30 ribu hektar di Kuala Selangor mustahil di kerjakan oleh Hock Leng dan kaum keluarganya. Ladang ini ditakrif sebagai aktiviti ekonomi punca pengeluaran kerana beratus-ratus pekerja ladang dan keluarga mereka bergantung hidup dengan ladang ini.

Dalam Negara Kebajikan amat jelas tujuan asasnya ialah menobatkan dan merajakan kebajikan ramai bukan kebajikan individu. Dalam Negara Kebajikan yang ditentang bukannya harta persendirian tetapi yang akan dilawan ialah hidup diatas titik peloh dan tenaga kerja orang lain.

Justeru, jika Hock Leng anak beranak boleh menebas menebang dan menanam sawit ditanah seluas 30 ribu hektar tanpa menggunakan tenaga kerja orang lain maka ahlan wasahlan – silakan buka tanah sebanyak itu. Itu adalah hak persendirian.

Bagitu juga dengan kilang-kilang dan pabrik-pabrik. Dalam Negara Kebajikan kilang didirikan untuk mengeluarkan barangan yang diperlukan oleh orang ramai. Sebuah kilang memilik ratusan pekerja. Bukan sahaja kaum buru yang bergantung hidup dengan kilang ini malah negara juga bergantung pendapatan melalui barangan yang dikeluarkan dari kilang ini. Justeru kilang-kilang yang besar dan stratejik seperti kilang, gula, beras, minyak dan gandum wajib di milik negarakan.

Paling wajib untuk dimilik negarakan ialah bahan-bahan asas punca-punca ekonomi dimana semua warga bergantung hidup dengannya. Contoh terbaik ialah punca air dan punca tenaga leterik. Air dan api ini tidak boleh dimiliki oleh individu atau syarikat individu. Ianya wajib dimilik negarakan untuk kebajikan dan kepentingan orang ramai.

Lalu timbul persoalan – apa sebenarnya makna memilik negarakan?

Disini saya akan cuba terangkan sejelas mungkin. Mari kita kembali melihat akidah sistem ekonomi kapitalis yang berpandukan keuntungan maksima. Kita lihat contohnya di ladang Hock Leng di Kuala Selangor. Saban tahun ladang ini akan membuat untung. Wajib kita semua sedar bahawa keuntungan ini wujud hasil dari tenaga pekerja ladang ini. Dalam sistem ekonomi kapitalis keuntungan ini akan masuk ke dalam akoun bank Hong Leng anak beranak.

Bagitu juga dalam kes jual beli beras dan gula yang dimonopoli oleh Syed Mukhatar. Jual beli ini pasti membawa keuntungan besar. Keuntungan ini pasti dimasukkan ke dalam bank akoun Tuan Haji Syed Mukhtar.

Jelas , kebajikan Hock Leng dan Syed Mokhtar anak beranak akan dijaga dengan baik. Persekolahan, tempat tinggal, makan minum – semuanya ‘the best money can buy’. Tetapi yang melahirkan kekayaan ini adalah tenaga dan titik peloh kaum buruh dan kaum pekerja yang kebajikannya compang camping.

Kaum buruh dan peladang ini tinggal dikawasan perumahan yang sempit, sesak dan padat. Anak anak buruh dan peladang ini tinggal dalam iklim budaya yang kasar dan lucah. Budaya kasar dan lucah ini akhirnya hanya akan berjaya melahirkan jenerasi baru tenaga buruh murah untuk Syed Mokhtar dan Hock Leng.

Inilah lingkaran syaitan yang hanya dapat dimusnahkan dalam Negara Kebajikan. Lingkaran syaitan hari ini jelas menunjukkan kaum pemodal, tuan empunya kilang dan syarikat mendapat kebajikan yang terbaik. Manakala yang memburuh melahirkan harta kekayaan itu hidup menjadi kuli batak.

Di dalam sistem ekonomi Negara Kebajikan pernigaan jual beli berjalan sperti biasa. Harta-harta yang dimilik negarakan seperti , kilang, ladang yang menajdi punca ekonomi ini akan diuruskan sama seperti hari ini. Keuntungan hasil dari jualan sawit, jualan minyak, jualan leterik, beras, gula – tidak masuk ke dalam akoun Syed Mokhtar atau Hock Leng tetapi masuk ke dalam dana persatuan pekerja kilang atau persatuan ladang sawit itu. .

Duit ini adalah hasil dari titik peluh kaum pekerja. Duit ini digunakan untuk kebajikan mereka sendiri bukan untuk Syed Mokhtar menunjuk-nunjuk bahawa dia alim dan boleh menderma untuk buat masjid. Wal hal, duit yang didermakan oleh Syed Mokhtar asalnya ialah duit untung dari tenaga keja kaum buruh dan ladang.

Memilik negarakan ini maknanya dikembalikan harta kekayaan dan punca punca ekonomi itu kepada daulah. Daulah itu ialah kita. Kita ialah oranag ramai. Justeru harta persendirin atau harta kaum pemodal itu kita pulang kepada diri kita sendiri. Keuntungan dari usus niaga dan dari tenaga anak semua bangsa dalam negara ini bukan untuk individu tetapi untuk kebajikan ramai. Kebaikan ramai adalah akidah Negara Kebajikan.

SISTEM EKONOMI NEGARA KEBAJIKAN

SISTEM EKONOMI NEGARA KEBAJIKAN

Tetiba Negara Kebajikan menjadi isu perbincangan. Ini adalah hasil dari keputusan Muktamar Pas tahun 2011 yang baru selesai dua minggu lalu. Hasil dari Muktamar ini umum telah diberiathu bahawa Pas akan membawa Negara Kebajikan sebagai akidah perjuangan.

Bila sahaja Pas mengajukan Negara Kebajikan kepada umum dengan serta merta United Malays National Organisation bangun mengaku bahawa dasar ini telah mereka jalankan. Justeru mengikut United Malays National Organisation Pas hanya menjadi Pak Turut.

Saya rasa memang ada warga kurang faham tentang apa sebenarnya Negara Kebajikan. Saya yakin – ramai yang kabur dan kurang faham dan mungkin menjadi sasau apabila United Malays National Organisation mengakui bahawa mereka telah menjalan dasar Negara Kebajikan.

Jika dasar yang sedang dilakukan oleh United Malays National Organisation ini sebagai ajenda Negara Kebajikan ini bermakna warga Palestin di Gaza juga hidup dalam Negara Kebajikan.

Hampeh. Pengakuan United Malay National Organisation ini betul-betul mengkelirukan ramai warga. Pengakuan ini United Malay National Organisation ini sama seperti George Bush mengakui yang dia menyerang Iraq untuk membawa demokrasi dan keamanan. Justeru, ciri pertama Negara Kebajikan ialah apa sahaja dasar yang sedang dilakukan oleh United Malays National Organisation ianya bukan Negara Kebajikan.

Sesudah kita semua menyedari ‘cakap tipu’ United Malays National Organisation ini biar saya sambung penerangan tentang Negara Kebajikan. Sesebuah Daulah wujud berasaskan ekonomi. Dalam dunia wujudiah kita pada hari ini hanya ada dua bentuk sistem ekonomi. Ekonomi kapitalis dan ekonomi sosialis. Ini adalah dua sistem ekonomi induk. Yang lain lain hanyalah pecahan dari sistem ekonomi ini.

Ekonomi kapitalis berpaksikan keuntungan maksima. Keuntunganlah yang mengemudikan arah dan dasar negara yang mengamalkan sistem ekonomi kapitalis. Manakala sistem ekonomi sosialis berpaksikan kepada kebajikan ramai. Justeru negara atau daulah yang mengamalkan sistem ekonomi sosialis akan menjadikan kebajikan ramai sebagai pedoman.

Tanah Melayu pada satu ketika dahulu adalah negara bersistemkan ekonomi feudal – sistem ekonomi ini muncul sebelum ekonomi kapitalis. Raja menjadi kepala yang mewakili seluruh kehidupan hidup. Raja berkuasa memungut cukai. Raja berhak memiliki tanah. Maka lahirlah budaya Melayu yang melambang sistem ekonomi feudal ini. Justeru kita melihat Orang Melayu tunduk kepada Raja walau pun Raja itu hampeh. Hingga ke hari ini saki baki budaya yang dilahirkan oleh sistem ekonomi feudal itu masih wujud sebagai bukti.

Di negara-negara tandus berpadang pasir seperti Saudi Arabia telah muncul satu budaya dan tamadun yang berpaksikan ekonomi padang pasir. Di Khutub Utara yang sejok bersalju telah melahirkan budaya dan tamadun negara bangsa warga Eskimo. Amat jelas bahawa sistem ekonomilah yang melahirkan tamadun negara bangsa.

Saya tidak perlu bersuluh untuk memahami bahawa dari sistem ekonomilah munculnya budaya, moral, nilai, tatasusila dan tamadun. Semua budaya bangsa dalam dunia ini wujud hasil dari sistem ekonomi. Tamadun negara bangsa adalah cermin dari sistem ekonomi yang di sedia pakai.

Mari saya bawa kembali untuk memahami dua sistem ekonomi – kapitalis dan sosialis. Untuk saya amat jelas dua bentuk sistem ekonomi ini memiliki perbezaan yang hakiki. Malah dua sistem ekonomi ini bertentangan antara satu sama lain. Keuntungan maksima tidak boleh wujud jika kebajikan ramai ingin diberi. Dalam masa yang sama kebajikan ramai tidak mungkin wujud jika keuntungan maksima ingin di capai.

Ini adalah hakikat pertentangan dua sistem ekonomi ini. Memang betul kita sering cuba di kelentong dengan kata-kata ‘ sama sama menang’ atau ‘win win situation’. Dalam sistem ekonomi tidak wujud sama sama menang. Jika loji Lynas di Gebeng akan dibuka – hasilnya yang untung membuat kekayaan ialah syarikat Australia. Yang akan rugi warga Gebeng dan Kuantan. Mustahil syarikat Loji untung dan warga di Gebeng juga untung. Tidak pernah lagi dalam sejarah ekonomi sosialis atau kapitalis akan wujud situasi sama sama untung.

Dalam bahasa orang kampong - tidak mungkin towkay untung dan kuli juga untung. Saya tahu ada juga yang berani berkata sedemikian. Untuk saya ini adalah kata-kata dari orang gila yang tidak faham asas ekonomi. Kita selalu mendengar/membaca kata-kata – win win situation - kata-kata ini datangnya dari mulut politikus United Malays National Organisation yang kerjanya hanya menipu orang ramai.

Dalam sisem ekonomi kapitalis pelaburan dibuat untuk membawa untung. Justeru balak ditebang untuk menguntungkan towkay balak. Mustahil penebangan balak ini akan menguntungkan kera dan siamang dalam hutan, jauh sekali Orang Penan. Tanah sawit dibuka dikatakan untuk membawa peluang pekerjaan. Ini kata-kata dari seorang munafiq yang menyurukkan niat asalnya untuk mencari keuntungan dari tenaga buruh pekerja ladang sawit ini.

Saya amat berharap yang para pembaca yang budiman telah faham bahawa politik itu ialah ekonomi. Perebuatn kuasa politik itu ialah perebutan kuasa ekonomi. Kerana itu kempen politik adalah kempen tentang dasar ekonomi. Jika para pembaca telah memahami sudut ini maka dengan senang sekali para pembaca akan memahami apa dia politik terkini didalam negara kita.

Biar saya jelaskan disini bahawa para penyokong sistem ekonomi kapitalis tidak henti-henti merancang untuk merebut kuasa politik agar mereka dapat membolot semua punca ekonomi. Rasa saya ini fakta yang jelas dapat kita lihat dalam budaya politik United Malays National Organisation. Justeru kaum kapitalis ini akan menyokong United Malays National Organisation kerana parti ini menyebelahi kepentingan mereka.

Bagitu juga pendukong yang mengajukan sistem ekonomi sosialis – mereka juga akan menyusun penyokong. Kalau dalam sistem ekonomi kapitalis yang menyokong ialah kaum pemodal dan pelabur. Dalam sistem ekonomi sosialis yang menyokong ialah kaum buruh, kaum tani dan warga miskin yang hidup tanpa harta kekayaan.

Justeru, sekali lagi saya tunjukan wujudnya pertembungan antara dua sistem ekonomi. Lalu pertanyaan muncul dimana hendak kita letakan Negara Kebajikan yang telah diajukan oleh parti Pas?

Biar saya terang dengan sejelas mungkin tentang Negara Kebajikan ini. Negara Kebajikan bukan satu sistem ekonomi. Jangan sesekali silap untuk mentakrifkan bahawa Negara Kebajikan ini adalah satu sistem ekonomi. Bukan.

Negara Kebajikan ini muncul dari satu sistem ekonomi. Negara Kebajikan dilahirkan dari sistem ekonomi sosialis. Hanya sistem sosialis sahaja yang memiliki kudrat dan iradat untuk membawa kemunculan Negara Kebajikan. Lalu timbul persoalan bahawa Pas ini bukan parti sosialis. Pas mengakui diri sebagai parti Islam. Pas sebuah parti Islam adalah kenyatan yang betul dan tepat.

Wajib kita sedari bahawa Islam itu adalah agama kepercayaan dan bukan sistem ekonomi. Dalam kitab suci Al-Quran yang di munculkan adalah ayat-ayat yang membawa naratif-naratif contoh yang menggambarkan Negara Kebajikan. Justeru terpulangkan kepada si penganut untuk menggunakan akal dan fikrah untuk melakar dan mencipta satu sistem ekonomi yang melahirkan Negara Kebajikan.

Ditahap tamadun manusia hari ini Negara Kebajikan hanya dapat diwujudkan melalui struktur sistem ekonomi sosialis. Lalu timbul satu lagi persoalan – bukankah sosialis ini tidak beragama dan tidak bertuhan?

Saya rasa masa dan ketikanya telah sampai untuk kita semua berani membebaskan diri dari diperangkap oleh propaganda ‘perang dingin’ yang mengatakan bahawa penyokong sistem ekonomi sosialis ini tidak bertuhan. Ini sebenarnya lahir dari kejayaan propaganda licik ketika pertempuran hebat antara dua ideloji sistem ekonom. Idealogi sistem kapitalis yang dikepali oleh Amerika dengan sistem sosialis yang dipimpin oleh Russia. Pertemporan ini berjalan hebat bermula sesudah Perang Dunia Kedua hingga runtuhnya Tembok Berlin pada tahun 1989.

Adalah betul dan tepat apabila kita mengatakan bahawa sistem ekonomi kapitalis atau sosialis tidak memiliki agama dan tidak memiliki tuhan. Sistem ekonomi ini samalah seperti injin kereta yang wujud. Tugas injin hanya untuk bergerak dari Kampong Ini ke Kampong Itu. Tidak mungkin injin kereta ini beragama dan bertuhan.

Biar saya terangkan lagi sejelas mungkin tentang beza agama dengan sistem ekonomi. Ini agar kita semua akan memiliki padangan yang cerah dan terbuka. Biar saya tunjukkan bagaimana Syed Mukhatar seorang penganut agama Islam yang selalu bersedekah tetapi dia juga ialah seorang kapitalis yang besar. Harta kekayaan Syed Mukhtar datangnya dari tenaga kaum buruh.

Seornag lagi kapitalis besar ialah Bill Gates. Bill Gates tuan empunya Microsoft adalah seorang atheis. Apa yang ingin saya paparkan ialah bukan agama dan kepercayaan yang penting tetapi akidah. Bill gates dan Syed Mokhtar memiliki akidah yang sama sebagai kaum kapitalis. Kaum kapitalis mencari untung. Akidah mereka ialah keuntuntungan maksima.

Wednesday, July 8, 2009

DASAR EKONOMI BARU YANG TERBARU !!


BAGAIMANA PEMODAL ANTARABANGSA MERANCANG


Pada tahun 2004 John Perkins telah menulis Confession of an Economic Hit Man – Pengakuan Tukang Pukul Ekonomi. Buku ini melakar bagaimana Perkins direkrut oleh National Security Agency (NSA) untuk menjaga kepentingan kaum pemodal antarabangsa.

Untuk menghalalkan tugas – Perkins – telah dimasukan bekerja disebuah syarikat konsultan ekonomi. Ini hanyalah baju yang dipakai oleh Perkins kerana syarikat ini memiliki hubungan rapat dengan NSA. Sebagai penasehat ekonomi Perkins merayau-rayau ke Indonesia, Panama, Ecuador, Colombia, Saudi Arabia, Iran dan negara yang dianggap memiliki potensi ekonomi.

Tugas Perkins cukup enteng : dia akan menasehatkan pemimpin negara-negara ini untuk membuat projek-projek mega ( seperti projek Bakun). Perkins tidak memiliki masaalah untuk bertemu dengan pemimpin politik negara-negara Dunia Ketiga. Ini kerana Perkins sedar bahawa pemimpin negara-negara ini apabila mendengar ada Mat Saleh ingin bertemu mereka maka mulut dan buntut mereka ternganga luas.

Perkins akan dijemput untuk menghadiri pelbagai seminar dan mesyuarat ( seperti Invest Malaysia 2009) dan dijemput dalam perbincangan percambahan pendapat. Akhirnya Perkins akan membuat dan mengajukan kertas-kerja dan cadangan untuk memunculkan projek mega. Dalam masa yang sama melalui Perkins - Bank Dunia atau IMF atau bank-bank lain akan bersiap sedia mengeluarkan dana.

Projek mega ini adalah cara ‘merasuah’ para pemimpin dan kroni para politikus Dunia Ketiga. Projek-projek ini tidak ada sangkut paut dengan kepentingan ekonomi warga negara itu walau pun dengan lunak Perkins akan menggambarkan bagaimana projek mega ini akan memberi manafaat untuk rakyat. Ini hanya kelentong.

Kontrektor-kontrektor projek, pekakas pembuatan – semuanya didatangkan dari nasehat Perkins. Projek ini akan menggunakan pakar-pakar ‘Mat Saleh ‘ yang dibayar dengan lumayan berbanding dengan pakar tempatan. Perkins melahirkan pekerjaan untuk para Mat Saleh yang di panggil ‘expert’.

Dalam masa yang sama Perkins cukup sedar banyak dana ini akan masuk ke dalam poket para pemimpin negara ini. Ini adalah sebahagian dari strateji Perkins. Ini perangkap yang sengaja dipasang.

Sedikit demi sedikit negara ini akan terhutang dengan lembaga-lembaga bank antarabanga – IMF, World Bank, Europen Bank dan pelbagai lembaga dana yang bekerja erat dengan Perkins. Bunga dan hutang ini akan meningkat. Ini menambahkan lagi beban negara.Perkins akan mengusulkan cara terbaik untuk mencari dana agar dapat membayar hutang dan bunga.

Cadangan Perkins : subsidi dihapuskan. Barangan kawalan makanan dilupuskan. Impot dibesarkan. Barangan ekspot dimurahkan. Nilai ringgit dikurangkan dengan alasan akan menarik orang luar membeli barangan ekspot.

Akhirnya – akan sampai satu masa – dimana hutang bagitu menjerut untuk negara ini. Maka Perkins akan ‘ menasehatkan’ para politikus agar Pertamina memberikan hak untuk Exxon cari gali di Ambalat –mislanya yang terjadi di Indonesia. Ini perangkap awal.

Jika pemimpin politik ini memiliki perasaan nasionalisma dan enggan tunduk atau berdegil maka akan di hantar apa yang di panggil ‘ The Jackals’. Mosaddeq di Iran menjadi mangsa pada thun 1953. Presiden Geutemala pada tahun 1954 menjadi mangsa agar bumi negaranya selamat untuk dijadikan ladang pisang United Fruits Company. Sukarno pada thun 1965. Ecuador pada thun 1981.

Mari kita melihat kes klasik sejarah Terusan Panama yang telah dimilik negarakan oleh Omar Torrijos pada thun 1977. Kemudian pada July 31, 1981 kapalterbang yang dinaikinya meletup di udara. Sesudah Torrijos mati Amerika kembali mendapat hak i untuk meletakan tenteranya di Terusan Panama. Khalas.

Di negara kita sendiri pekara yang sama pasti berlaku. Dasar Ekonomi Baru yang dilakar oleh Razak Hussein telah mengenepikan kepentingan pemodal antarabangsa. Kaum pemodal ini merasa kurang senang dengan dasar ini. Melalui media dunia mereka terus mempertikaikan dasar ini.

Dasar ini juga di kritik oleh kapitalis nasional dan kapitalis komprador yang suaranya diwakili oleh MCA. Ketika itu air, api, talikom, universiti, jalan raya, hospital, tanah Felda, Felcra, SEDC – semuanya adalah milik orang ramai i.e milik negara.

Kritikan dasar ini tidak ada sangkut paut dengan kepentingan Maj Jah peniaga warong di Gombak atau Pak Huseing pembuat budu di Pengkalan Chepa. Kritikan ini datang dari kaum kapitalis yang tidak dapat membuat keuntungan maksima.

Apabila Mahathir naik semua ini diubah. Untuk mendapat sokongan kapitalis komprador dan kapitalis nasional: baca pemodal Cina - Mahathir telah menswastakan harta rakyat ini. Maka gembiralah dan berkundurilah kaum kapitalis ini. Harta kekayaan mereka bertimbun tambah. Laporan terbaru membuktikan bagaimana 58 bilion ringgit harta negara di sawastakan hanya 2 bilion ringgit sahaja yang menjadi milik Melayu.

Mahathir naik tocang apabila dinobatkan oleh kaum pemodal ( kaum pemodal Cina) sebagai penjana pembangunan. ( Ini tidak ada sangkut paut dengan Mak Cik Limah di Felda Chomomoi atau Haji Timah tuan punya warong di Senawang.)

Dasar Ekonomi Baru ini hakikatnya adalah dasar ekonomi kapitalis yang penuh dengan percanggahan. Dasar ini bercita-cita untuk memunculkan ‘zaibatsu’ Melayu/Bumiputera. Ini hanyalah mimpi tegang yang tidak pancut-pancut. Cita-cita ini tidak mungkin tercapai hingga bumi meletup. Kalau tupai beranakkan gajah pun dasar ini tidak akan tercapai.

Dasar DEB ini tidak akan berjaya kerana dalam hukum ekonomi kapitalis – apa boleh jual akan di jual – apa yang boleh di beli akan dibeli. Dalam ekonomi kapitalis tidak ada agama atau bangsa. Setiap kali modal dilabor untuk Melayu ianya pasti akan bertalian dengan ekonomi Cina yang telah lama kukuh. Ini belum diambil kira rasuah.

Tidak mungkin semua orang Melayu/Bumiputera akan dapat di kayakan. Pemodal memerlukan buruh yang boleh diupah murah. Pemodal memerlukan pengguna untuk membeli. Kalau Melayu semua kaya siapa pula yang akan menjadi buruh di ladang sawit, penanam padi, penangkap ikan dan Minah Karan dan Mat Spana?

Dasar Ekonomi Baru ini hanyalah satu kelentongan/tipu helah dimana para politikus Melayu berkumpul membuat dasar atas nama Melayu. Dengan bersandarkan keMelayuan maka para politikus Melayu ini dapat ‘merembat’ harta negara.

Pada ketika DEB dimulakan pergaduhan Melayu/Bukan Melayu baru selesai. Kapitalis nasional dan kapitalis komprador tidak berani menyuarakan tentangan pada ketika itu. Mereka melihat dari jangka panjang kepentingan mereka lebih terjaga dengan dasar ini. Anggapan mereka cukup tepat. Siapa dia Lim Goh Tong, siapa dia Ananda Krishnan, siapa dia Vincent Tan ?

Dasar untuk menjadikan 30% harta kekayaan negara ini dimiliki oleh Melayu/Bumiputera adalah mimpi kosong dan dasar yang salah. Tidak perlu membuat kajian ilmiah – pergi sahaja keluar dari Kuala Lumpur dan lihat sendiri kehidupan orang-orang di kampong. Memang betul ada perubahan. Kalau dulu pada tahun 1974 di Kampong Chenor ( kampong saya ) tidak ada leterik dan air – hari ini telah ada.

Tetapi air dan leterik kini dimiliki oleh pemodal tuan empunya saham.. Hospital dimiliki oleh pemodal tuan empunya saham.. Sekolah dan univeristi dimiliki oleh pemodal tuan empunya saham.. Jalan raya dimiliki oleh pemodal tuan empunya saham. Talipon dimiliki oleh pemodal tuan empunya saham. Ini bezanya. Ini hakikat.

Dua minggu dahulu Najib telah membuat dasar liberalisasi. Perkataan LIBERALISASI ini perkataan hampeh. Ini perkataan putar alam bertujuan untuk mengelirukan kefahaman yang tuntas kepada orang ramai terutama kepada Mak Cik dan Pak Cik Felda. Leberalisai bermakna : Syarikat antarabangsa dibenarkan berniaga bebas dalam negara ini.

Dua hari dahulu Najib Razak telah mengubah satu jalur DEB. Kaum pemodal pasti akan mengalu-alukan dasar ini. Ertinya pasaran Malaysia terkangkang luas untuk di entot. Ertinya tidak ada lagi halangan untuk sesiapa sahaja memiliki harta kekayaan negara ini. ( Kalau saya kapitalis saya akan terpancut siang dan malam dan meleleh air liur melihat harta negara ini boleh dimiliki ).

Kenapa Najib membuat dasar baru ini ?

Cukup senang untuk memahaminya. Najib memiliki masaalah pribadi yang berat. Jangan silap baca ini tidak ada sangkut paut dengan berat badan isteri Najib. Berat di sini bermakna berat dari segi politik. Contohnya : Parti yang dipimpin oleh Najib tidak lagi mendapat sokongan rakyat. Retak retak kelihatan dalam gabungan Barisan Nasional. Dan paling menakutkan Najib apabila kaum kapitalis komprador dan kapitalis nasional: baca – pemodal Cina - telah menjauhkan diri dari Najib.

Dalam masa yang sama media antarabangsa terus menghantui Najib dengan kes pembunuhan Altantuya gadis cun dari Mongolia. Media luar ini adalah alat pembesar suara untuk memastikan kepentingan kaum pemodal antarabangsa terjaga rapi. Kuam pemodal antrabangsa ini telah lama ingin merembat harta kekayaan negara ini.

Hantu dan polong-polong puaka ini perlu dijaga.

Najib wajib melakukan sesuatu. Seperti Mahathir menswastakan harta negara untuk kaum komprador dan kapitalis nasional maka Najib Razak menswastan seluruh bumi Malaysia ini untuk kepentingan kelas kapitalis dalam dan luar negara. Inilah hakikat dari dasar ekonomi yang akan dijalankan oleh Najib Razak.

Dimana Perkins Kaki Pukul sedang bersemayam?

Jangan risau si Perkins ini masih wujud. Perkins telah menghatar budak suruhannya dari Singapura. Lupa projek mega – Jambatan Ketiga ?

Perkins-Perkins ini mungkin ada jaringan dalam EPU. Si Perkins ini mungkin masih bersarang di Tingkat Empat atau ingin pindah ke tempat yang lebih tinggi seperti di Menara Petronas. Si Perkins sedang berselerak menjalankan tugas untuk memastikan kepentingan kaum kapitalis akan didahulukan.

Dasar Ekonomi Baru atau Dasar Pedekatan Baru ini semuanya TIDAK akan memberi apa-apa manafaat kepada rakyat biasa. Dasar ini tidak ada sangkut paut dengan kepentingan Gopal pemandu teksi dari Segambut. Dasar ini tidak ada sangkut paut dengan Swee Heng peniaga nasi Itek di Jalan Petaling. Dasar ini tidak ada sangkut paut dengan Hajah Limah pembekal kerepek ubi dari Sijangkang.

Rakyat biasa tidak berjudi di bursa saham. Rakyat biasa tidak tahu apa itu ‘pink form’. Rakyat biasa tidak memahami turun naiknya Nasdaq atau Index Heng Seng. Rakyat biasa mahu keselesaan dan bukan mahu di ikat dengan pelbagai gaya/cara – cukai/tol/bil hospital/bil air/bil api/ bil sewa rumah/cukai rumah - dimana mereka wajib dan dipaksa mengeluarkan duit yang tidak mereka miliki.

Dasar ekonomi terbuka dan terkangkang ini akan menjemput kapitalis antarabangsa – dengan alasan untuk melabor dan membawa modal. Ini betul-betul hujah dari kertas kerja John Perkins. Inilah cara yang digunakan oleh Perkins untuk memastikan sesebuah negara itu akhirnya akan dapat dijajah kembali.

Satu kerajaan yang baik adalah kerajaan yang berkiblatkan rakyat. Sebuah kerajaan yang adil tidak akan mempedulikan kepentingan kaum kapitalis kerana mereka menghisap darah warga negara. Dasar yang wajib dinobatkan ialah dasar dimana kepentingan ramai mendahului kepentingan pribadi. Kepentingan ramai menjadi nakhoda dan juragan.

Kerajaan yang adil ialah sebuah pentabiran yang telus dimana dasar ekonominya akan menobatkan kepentingan kaum buruh dan tani. Ini kerana dari tenaga kaum buruh dan kuam tani inilah munculnya modal. Modal muncul dari tenaga manusia. Modal bukan wang ringgit. Wang ringgit adalah tanda nilai tenaga dan fikrah manusia. Modal datang dari tenaga warga negara itu sendiri.

Modal bukan datang dari IMF atau Bank Dunia Bank. Duit dari IMF atau Bank Dunia itu adalah hasil rompakan dari tenaga buruh dan tani dari seluruh dunia.

Justeru dasar Menjual Felda mungkin dilihat dapat mengumpulkan modal. Awas! Menjual Felda samalah seperti Lebai Sudin di Kuala Nerang yang hanya memiliki sebuah rumah dan 3 relong sawah. Satu hari untuk membaiki atap rumahnya Lebai Sudin telah menjualkan 3 relong tanah sawahnya kepada …….
( Sila baca buku Confessions of an Economic Hit Man - jangan malas baca! Kalau malas kena jual nanti ! )

Wednesday, May 6, 2009

MENGENAL NILAI BUDAYA KAPITALISMA

BUDAYA DAN NILAI KONSUMER

Hari ini dasar globalisasi yang diajukan oleh International Monetary Fund dan Bank Dunia telah berjaya menjadikan kapitalisma satu sistem ekonomi yang mencakupi seluruh dunia. Dari Chile ke China, dari Bhutan ke Batang Berjuntai, dari Tokyo ke taiping dari Normandy ke Nepal – semua negara sedang menggunakan sistem kapitalisma sebagai satu cara hidup.

Cara hidup disini ialah budaya harian yang digunakan oleh warga untuk menjalankan kehidupan. Budaya dan cara hidup ini diikat dengan nilai. Kapitalisma telah melahirkan nilai untuk dijadikan rujukan oleh warga dunia. Sistem kapitalisma telah berjaya menyebarkan nilai-nilai baru untuk umat manusia. Nilai ini berpenanan besar untuk memperkukuh dan mengembangkan kapitalisma.

Nilai-nilai ini dirancang dan disusun. Kajian dibuat secara ilmiah tentang apakah nilai yang wajib dibentuk. Pakar-pakar akan memastikan nilai-nilai yang dimunculkan ini ianya akan selari dengan nilai dan hukum perjalanan sistem kapitalisma.

Daulah memerlukan nilai-nilai ini untuk memastikan yang kuasa ditangan tidak akan tergelincir lepas. Melalui nilai dan pandangan dunia daulah dapat memastikan hegemoni daulah dapat diteruskan.

Penyebar nilai yang nombor wahid ialah media – akhbar, majalah dan tv. Pada awalnya akhbar telah menjalankan peranan yang amat positif. Jika kita melihat kembali peranan akhbar di negara kita ini maka kita akan melihat bagaimana akhbar harian telah menjana pemikiran orang ramai. Gerakan nasionalisma di Tanah Melayu untuk menuntut kemerdekaan tidak akan ampuh tanpa peranan akhbar.

Globalisasi , penswastaan dan pasaran terbuka telah mengalih semua ini. Dasar pasaran terbuka yang dipaksakan ke atas negara-negara dunia ketiga telah membuka jalan untuk taikun media antarabangsa melabur dan membeli akhbar dan media-media tempatan.

Hari ini media di dunia ini sedang dimonopoli tidak lebih dari 10 buah syarikat – antaranya Time Warner Inc, The Walt Disney Corporation, The News Corporation Ltd., Sony Corporation, General Electric Co., Viacom, Inc. dan Bertelsmann AG. Dari sini muncul satu susuk yang menjadi raja segala raja-raja – Rupert Murdoch.

Syarikat-syarikat media ini berligar macam helang lapar untuk mencari mangsa baru. Dimana sahaja ada pasaran dibuka maka mereka akan datang melabur untuk mempengaruhi bentuk berita yang akan disebarkan kepada umum.

Justeru – kita tidak perlu hairan kenapa Israel yang memiliki lebih dari 200 biji bom nuklear tidak pernah dipersoalkan oleh saluran media-media ini. Kita juga tidak perlu hairan kenapa Iran yang hanya membuat loji nuklear untuk menjana letrik saban hari digodam oleh media-media ini seolah-olah minggu depan Iran akan meledakan bom nuklear.

Memiliki dan mengawal media bertujuan untuk menenggelamkan isu yang fundamental. Mengenepikan isu dan agenda yang rapat dihati warga. Melalui kawalan dan saringan - media bergelumang dan bertungkus lumus menimbulkan isu sampingan yang remeh lagi temeh. Justeru dari hari ke hari pengisian media diseluruh dunia semakin cetek. Umat manusia hari ini ditaburkan dengan cerita-cerita remeh, gosip-gosip tentang artis, aktor, pemain bola, kaki kaki glamour, ratu cantik atau para model.

Telah wujud kesepaduan diantara media cetak dengan media eletronik. Kita tidak perlu pergi jauh untuk memahami semua ini. Lihat sahaja apa bentuk nilai yang sedang disebarkan oleh media kita sendiri.

Contohnya : Dari kaca tv kita melihat seorang aktor ciput yang tegedik-gedik – esoknya kita akan diberitahu siapa kekasih baru aktor ini. Dan lusa kita akan membaca bahawa aktor ciput telah berkahwin dengan seorang Datuk Tua. Kemudian kita terbaca aktor ciput ini minta cerai. Kesah ‘minta cerai’ ini akan menjadi sensasi sehingga berita 5000 warga yang di buang kerja dilihat sebagai berita sampingan.

Berita remeh cerai berai artis ciput ini dijual untuk ditakrif lebih penting dari apa yang terjadi dan kemana perginya P Subramaniam atau apa yang akan dihadapi oleh warga yang akan hilang pekerjaan? Berita-berita remeh seperti ini memang dirancang untuk mengkambuskan isu nasional yang lebih bermakna. Pemikiran warga sengaja dibantut dan dibonsaikan dengan berita remeh, cetek dan lagi superfisial.

Media inilah yang hari ini sedang melahirkan nilai untuk menjadi rujukan kita bersama. Taktik yang dijalankan - sebelum kita sanggup menerima nilai ini otak dan fikrah kita perlu dicetekkan dengan berita-berita remeh. Apabila warga menjadi lali, suka melopong depan tv, malas membaca dan kurang cerdik maka dengan senang warga akan disuapkan dengan nilai konsumer.

Nilai konsumer adalah segala nilai dalam budaya kapitalis. Budaya konsumer inilah yang dirancang secara rapi oleh kaum pemodal. Kaum pemodal antarabangsa ingin warga dunia terus membeli barangan dan produk-produk baru yang mereka buat. Inilah tugas penyebaran nilai konsumer.

Beli, beli dan terus membeli adalah rukun iman dan syarat utama untuk memastikan sistem kapitalis ini terus bergerak. Jika para konsumer berhenti membeli maka dengan sendirinya kilang akan terhenti. Untuk memastikan komplot ini terus berjaya maka warga perlu tunduk, menyembah dan menghayati nilai konsumer.

Produk-produk baru akan memasuki pasaran. Lepas satu, satu lagi objek baru akan muncul. Semua produk ini perlu dibeli untuk memastikan enjin kapitalisma terus bergerak. Lihatlah, saban tahun kilang kereta akan mengeluarkan model dan bentuk baru. Komputer akan diisikan dengan software yang baru. Pakaian akan diperagakan dengan model yang baru. Semua ini dirancang secara bersepadu diantara media eletronik, media cetak dan iklan – untuk melahirkan nilai konsumer.

Kita sebagai warga akan ditembak dari kiri dan kanan. Di rumah mata kita ditembak oleh kaca tv. Dalam kereta telinga kita ditembak oleh radio. Di jalan raya mata kita dibom oleh papan iklan. Semuanya untuk melemahkan diri kita agar kita sama sama menyembah produk-produk dan membelinya.

Hari ini kapitalisma telah berjaya menanamkan nilai aku-mesti-beli dan aku-mesti- memiliki. Jika kita memiliki produk yang dijajakan maka kita termasuk dalam gulungan umat yang berjaya. Sesiapa yang tidak memiliki produk ertinya susuk ini adalah gulungan yang gagal. Dalam budaya kapitalisma nilai kejayaan diukur dengan pemilikan. Lebih banyak produk yang kita miliki maka lebih tinggi taraf kita untuk dilihat.

Budaya konsumer seolah-olah berjanji memberi warga kebebasan memilih. Kalau kita ke gedung membeli belah - kita ada kebebasan untuk memilih berpuluh jenis kopi. Apakah benar kita sebagai warga memiliki kebebasan untuk memilih?

Tidak. Dalam budaya konsumer kapitalis pilihan itu hanya satu ilusi. Yang kita pilih hanya logo luaran. Dalam kapitalisma warga tidak banyak pilihan – semua pilihan akan menjurus kepada orang yang sama dan tuan pemodal yang sama.

Tidak percaya? Cuuba fikirkan apakah kita ada pilihan apabila berhadapan dengan Star, Sin Chew, Utusan, NST , RTM, Tv 3, Tv 9, atau Astro. Kita hanya berilusi yang kita ada kebebasan memilih tetapi sebenarnya semua pemiliknya adalah orang dari kumpulan yang sama.

Hegemoni budaya kapitalisma ini sedang memerangkap kita semua. Warga Asia, Afrika dan Latin Amerika termasuk Eropah dan Amerika semua sedang terjerat oleh budaya ini. Budaya ini sedang membantut dan membonsaikan fikrah kita. Justeru kita wajib mencari jalan keluar.

Tuesday, April 28, 2009

MENGENAL KAPITALISMA GLOBAL

GLOBALISASI MODAL

PUTRAJAYA 22 April - Kerajaan hari ini memutuskan untuk meliberalisasikan 27 subsektor perkhidmatan berkuat kuasa serta-merta tanpa sebarang syarat ekuiti dikenakan. Ini bermakna syarat peruntukan ekuiti 30 peratus tempatan untuk subsektor berkenaan tidak lagi terpakai.Mengumumkan perkara itu di sini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, subsektor yang diliberalisasikan itu adalah dalam bidang perkhidmatan kesihatan dan sosial, pelancongan, pengangkutan, perniagaan, komputer dan yang berkaitan. Kata beliau, liberalisasi sektor perkhidmatan bertujuan membentuk satu persekitaran perniagaan yang kondusif bagi menarik pelaburan, teknologi serta menjana peluang pekerjaan bertaraf tinggi. – DI PUNGUT DARI UTUSAN MELAYU

Minggu ini kita terbaca bagaimana Najib Razak terpaksa membuka lagi pasaran Malaysia kepada syarikat multinasional. Kaum pemodal luar negara kini dibenarkan membawa masuk modal untuk melabor dalam 27 subsektor termasuk juga bank dan hospital. Kalau dulu pelaburan luar hanya dibenarkan memiliki kepentingan pelaburan tidak lebih dari 30% kini dinding dan atap itu telah diruntuh.

Ini buktinya bagaimana perancangan kapitalisma global telah berjaya untuk memindahkan harta kekayaan rakyat dari Asia, Afrika dan Amerika Latin ke saku para banker dan pemodal Anglo-Amerika. Inilah buktinya bagaimana dasar pasaran terbuka dapat menerbus masuk ke dalam Dunia Ketiga.

Hujah memberi peluang pekerjaan selalu digunakan sebagai khidmat yang akan kita terima jika kaum pemodal antarabangsa ini masuk melabur. Kapitalis antarabangsa ini juga dikatakan akan membawa modal. Apakah ini betul? Untuk memahami mari kita melihat dan memahami kembali apa itu duit dan apa itu modal.

Seperti yang telah saya terangkan dahulu duit yang kita gunakan ini adalah flat money - kertas yang nilainya dipaksakan ke atas kita. Kertas ini dipaksakan ke atas kita kerana kita terikat dalam sistem kapitalis global. Kita menjerut leher kita dengan menerima dasar Bank Dunia, International Monetary Fund ( IMF) dan World Trade Organisation.

Dasar yang diajukan oleh lembaga-lembaga ini tidak pernah berniat untuk membantu kita. Tugas kapitalisma bukan membantu umat manusia tetapi membuat untung. Tidak ada orang yang memulakan satu perniagaan dengan tujuan untuk membantu. Kapitalisma bukan badan amal seperti Food Not Bomb.

Kita selalu mendengar bahawa banyak kilang ditutup di Singapura, Pulau Pinang atau Thailand kerana berpindah ke China atau Vietnam. Kenapa? Kerana upah buruh lebih murah di sana. Inilah buktinya bahawa kapitalisma bukan datang untuk membantu tetapi mencari untung. Jadi hujah mengatakan modal luar membuka peluang pekerjaan terbukti satu dongeng.

Dari mana modal datang? Modal ialah tenaga manusia. Justeru tidak munasabah jika kita katakan Malaysia tidak memiliki modal. Ini bohong. Di Malaysia ada lebih dari 20 juta warga – semua ini adalah modal. Apabila politikus mengatakan kita tidak memiliki modal atau dana – apa yang dimaksudkan ialah kita tidak memiliki kertas dolar.

Juga jangan lupa - keuntungan yang dibuat oleh kaum pemodal antrabangsa akan dibawa pulang ke negara masing-masing. Yang dibawa pulang itu ialah modal. Inilah sebab utama kenapa negara di Asia, Afrika dan Amerika Latin terus menjadi miskin. Tenaga yang dicurahkan oleh warga dihisap oleh lintah-lintah darat ini.

Kerana kita tidak memiliki kertas dolar maka kerajaan kita ke hulu ke hilir meminjam dari Bank Dunia, IMF, bank-bank dari Eropah atau negara menjual bond. Ertinya kita meminjam duit dari para banker dan pelabur dari luar negara. Mereka sedia meminjamkan kepada kita untuk mendapat untung buta melalui bunga dan riba.

Mari kita lihat satu contoh sejarah yang berlaku di zaman Perang Saudara (1861-1865) di Amerika Syarikat. Ketika itu Presiden Abraham Lincoln cukup terdesak. Presiden Lincoln mungkin terpaksa meminjam duit dari para banker di Eropah yang amat bersedia meminjamkan duit dengan riba dan bunga yang tinggi.

Lincoln telah dinasihatkan untuk mencetak duit sendiri agar dapat membebaskan diri dari lintah darat para banker yang sedang memasang lukah di Pasar Selayang. Sebanyak 450 juta dolar - yang dipanggil greenbacks - telah dicetak. Wang ini berjaya membantu Lincoln membayar hutang piutang negara. Amerika di zamam Lincoln telah bebas dari berhutang dengan para banker dari Eropah. Dari segi sejarah ketika Lincoln menjadi Presiden ekonomi Amerika berkembang permai.

Ringgit yang kita gunakan hari ini dinilaikan dengan bandingan kertas dolar. Tetapi kertas dolar yang menilai ringgit ini pada hakikatnya tidak memiliki apa-apa nilai. Majoriti warga Malaysia hanya memiliki nilai keyakinan untuk menjalankan pertukaran melalui ringgit. Kertas ringgit ini bertujuan untuk menyenangkan kita berjual beli tidak lebih dari itu. Kertas ringgit ini juga adalah flat money yang tidak berasaskan emas atau perak. Ia hanya berasaskan keyakinan warga Malaysia.

Justeru jika sesebuah negara dapat membebaskan dari belenggu kertas dolar maka negara itu boleh mencetak duit mereka sendiri – seperti yang telah dilakukan oleh Abraham Lincoln. Jika negara mencetak duit sendiri maka negara tidak akan memiliki masalah hutang. Kita mencetak kertas ringgit kita sendiri tanpa merujuk kepada Bank Dunia atau IMF. Atau meminjam dari mereka.

Saya yakin warga akan menerima pakai kertas ringgit yang kita cetak untuk kita bersama membangunkan negara. Tidak timbul masalah negara tidak memiliki modal. Tidak timbul masalah negara tidak ada dana. Kenapa kita menjadi bodoh meminjam kertas dolar dari IMF atau Bank Dunia atau menyimpan dolar sebagai duit simpanan negara walhal kertas dolar ini juga tidak bersandarkan emas atau perak. Nilainya dipaksakan ke atas kita.

Amat jelas - Bank Dunia, World Bank dan IMF adalah lembaga kapitalis yang menjual kertas kosong kepada kita. Kenapa kita membeli kertas kosong dengan harga yang mahal walhal kita boleh membuat kertas itu sendiri.

Apa yang saya katakan ini kelihatan cukup enteng. Lalu timbul persoalan – kalau bagini senang kenapa kerajaan tidak melakukan sesuatu? Jawabnya juga cukup enteng – kerajaan Malaysia hari ini sedang mengamalkan sistem ekonomi kapitalis. Negara kita terikat dalam satu sistem kapitalis global.

Perangkap kapitalis global ini telah dipasang oleh kabel Illuminati untuk kepentingan para banker seperti Rockefeller dan Rothschild telah memerangkap kita. Pemimpin politik kita tahu jika mereka cuba membebaskan diri dari sistem kapitalis global ini maka mereka akan dijatuhkan.

Sejarah menunjukkan bahawa United Malays National Organisation ini dinaikkan oleh penjajah British melalui Tunku kerana gerombolan ini tidak akan melawan atau menentang kepentingan kaum pemodal Anglo-Amerika. Gerombolan ini dipilih oleh British kerana mereka akan menjaga kepentingan kaum pemodal melalui seribu satu macam undang-undang yang bukan bertujuan menjaga kepentingan kaum pekerja dan buruh tetapi menjaga kepentingan kaum pemodal.

Hanya sebuah kerajaan rakyat yang berpaksikan kekuatan rakyat sahaja yang dapat membebaskan diri dari belenggu kapitalis global. Satu ketika dahulu Indonesia dibawah pimpinan arwah Bung Karno adalah contohnya. Iran di bawah pimpinan arwah Mussadigh satu lagi contoh.

Hari ini contoh terdekat ialah Cuba yang dipimpin oleh Castro, Korea Utara yang dipimpin oleh Kim Jong-il , Venezuela di bawah Chavez dan Iran di bawah Ahmadinejad – adalah negara-negara yang cuba membebaskan dari sistem kapitalis global. Lihatlah berapa banyak konspirasi dan propaganda telah, sedang dan akan dilakukan untuk merobohkan benteng ekonomi negara-negara ini. Modal global melihat negara-negara yang ekonominya berdiri bebas sebagai musuh mereka.

Lalu persoalan timbul kenapa kita semua tidak melakukan sesuatu dan membiarkan diri kita terus ditipu bulat-bulat untuk sekian lama?

Sesiapa yang berani mengeluarkan soalan seperti ini maka susuk ini adalah susuk yang memiliki fikrah merdeka. Susuk ini berfikiran progresif kerana ingin membebaskan diri dari belenggu kapitalisma. Susuk-susuk yang sedar dan tidak mahu ditipu oleh kertas dolar. Jika semakin ramai yang menimbulkan soalan ini ada kemungkinan Malaysia negara kita ini akan menuju ke zaman pencerahan.

Tuesday, April 21, 2009

MENGENAL KAPITALISMA

KEDAULATAN DAN GLOBALISASI

Lupakan kedaulatan Sultan Perak. Lupakan kedaulatan Raja-Raja. Semua ini adalah ciput. Semua kedaulatan ini tidak akan diambil kira dalam agenda globalisasi yang sedang berjalan hari ini. Semua Tan Seri, Tan Tun, Mak Datin , Pak Haji, Ayatollah, Padri, Sami, Rabbai atau apa sahaja bentuk manusia semuanya menjadi ciput dalam agenda baru yang sedang berjalan hari ini.

Tuhan baru telah muncul. Tuhan yang dibawa oleh sistem kapitalis. Tidak percaya? Sila renung dan periksa diri sendiri. Sistem ekonomi kapitalis telah menjadikan manusia berebut-rebut untuk mengumpul harta. Sistem ekonomi kapitalis telah melahirkan satu budaya dimana umat manusia dalam dunia ini terlupa dan terlalai bahawa kita hanyalah bertransit di atas muka bumi ini.

Budaya kapitalis ini telah mencakupi semua aspek kehidupan manusia. Manusia moden kurun ke 21 telah dilalaikan untuk menjadi binatang konsumer yang mengguna dan mengumpulkan pelbagai ‘biji-biji saga’ dan barangan kodi untuk mainan. Manusia moden telah menjadi seperti Toyol yang asyik bermain dengan biji-biji saga hingga terlupa bahawa tujuan hidup ini adalah untuk mengenal diri sendiri dan melakukan kebaikan.

Sistem kapitalis telah membawa satu budaya dimana ianya mengasak, meraba dan merangsang sifat jahat dalam diri manusia. Hukum induk ekonomi kapitalis - keuntungan maksima – telah melupuskan nilai baik yang sedia wujud dalam diri manusia.

Justeru apakah kita hairan apabila kita terbaca dalam akhbar bagaimana pembekal susu tepung di Tanah Besar China telah membubuh melamin dalam tepung untuk dijual sebagai susu. Mereka menjual susu ini bukan kepada orang Sweden tetapi kepada bayi-bayi China sanak saudara mereka sendiri.

Justeru apakah kita hairan apabila kita membaca berita di Sepanyol dan Portugal ada pembekal minyak zaiton telah membubuh minyak hitam yang sudah terpakai untuk dijual sebagai campuran minyak zaiton.

Justeru apakah kita hairan apabila membaca bagaimana kontraktor Bumiputera yang bersunat dan selalu naik umrah telah membuat bangunan sekolah, bilik makmal dan hospital dengan menggunakan barangan tidak berkualiti dan akhirnya bangunan-bangunan ini runtuh rantah.

Semua ini dilakukan kerana mereka hidup mengikut hukum dan budaya kapitalisma. Keuntungan maksima adalah tuhan baru yang sedang disembah. Selama 30 tahun kebelakangan ini tuhan baru ini telah muncul dimerata pelusuk dunia. Tuhan ini akan berada dimana sahaja wujudnya sistem ekonomi kapitalis termasuk di Malaysia.

Tiga puluh tahun dahulu – air, api, jalan raya, hospital, bank, sekolah, universiti, telefon, radio, tv – semua ini adalah milik kita bersama. Semua ini adalah hak milik negara bermakna hak milik orang ramai. Tiba-tiba harta orang ramai ini diswastakan.

Siapa sebenarnya yang menelorkan dan mencadangkan dasar penswastaan ini. Dasar ini dimunculkan oleh pemikir kabel-kabel Illuminati. Para pemikir dari pelbagai ‘think tank’ ini yang telah mengajukan agenda penswastaan kepada Bank Dunia dan IMF sebagai satu usaha untuk apa yang mereka panggil – cara untuk memperbaiki dan mengembangkan ekonomi di negara-negara sedang membangun.

IMF dan Bank Dunia menjadikan penswastaan ini sebagai dasar untuk diterima pakai. Negara Dunia Ketiga yang miskin jika ingin meminjam dana dari bank-bank antarabangsa diwajibkan menjalankan dasar penswastaan. Penswastaan bermakna menjualkan harta hak milik orang ramai kepada kaum kapitalis antarabangsa.

Di belakang dasar penswastaan ini ialah para banker dari kabel Illuminati. Para banker yang telah mengumpulkan berbillon kertas dolar memerlukan prasarana pelaburan baru. Hukum ekonomi kapitalis mewajibkan kaum pemodal terus mencari pasaran baru. Di Eropah Barat pasaran telah tepu. Maka kabel Illuminati telah mengarahkan Bank Dunia dan IMF memaksa dibuka seluas mungkin pasaran di negara Dunia Ketiga. Hasilnya kita melihat harta negara kita –air, telefon, tv, jalan raya, hospital, bangunan, bank – semuanya bertukar tangan.

Apabila Perang Dingin tamat lihat apa yang telah terjadi kepada Russia dan Eropah Timur. Negara-negara ini sedang mengamalkan sistem ekonomi sosialis telah diasak dan di serang. Russia telah dipecah-pecahkan. Perang telah dicetuskan di Bosnia, di Kosovo, di Montenegro dan di Chechen – semua ini adalah perancangan licik untuk memaksa harta rakyat di Eropah Timur di jual kepada kaum pemodal antrabangsa.

Sesudah dasar penswastaan di terima pakai – kita mula terdengar apa yang dikatakan - Dunia Tanpa Sempadan. Dunia tanpa sempadan ini ialah agenda Illuminati untuk melupuskan kedaulatan negara. Dunia tanpa sempadan bukan bererti orang Afrika boleh senang-senang masuk ke Eropah. Dunia tanpa sempadan bukan bererti buruh rakyat Pakistan boleh masuk ke Jepun untuk mencari kerja.

Tanpa sempadan hanyalah untuk duit modal masuk ke mana sahaja untuk mencari untung. Modal antarabangsa ini tidak boleh diganggu gugat ketika modal ini sedang mencari keuntungan maksima dimana sahaja dalam dunia ini. Dunia tanpa sempadan ialah untuk para pelaburan antarabangsa bermain ‘tikam dan berjudi’ di pasaran saham negara-negara Dunia Ketiga. Lihat apa yang berlaku di Asia Tenggara pada tahun 1997 dahulu. Lihat bagaimana kaum kapitalis antarabangsa telah menebus masuk dan menekan negara-negara Asia Tenggara dan akhirnya banyak hospital kita terjual, telefon kita terjual, sistem pendidikan kita terjual.

Lihat Tesco, Carrefour, Giant, Court Mammoth, AIA, ING, Ikea, Burger King, MacDogal, Shell, Esso – semua ini adalah milik pemodal antarabangsa. Semua ini dipaksakan ke atas pasaran kita melalui perjanjian World Trade Organisation (WTO). WTO memaksa negara Dunia Ketiga membuka pasaran untuk pemodal antarabangsa masuk mencari untung.

Perjanjian WTO ini adalah perjanjian terbuka yang berat sebelah – sama seperti perjanjian-perjanjian East India Company yang telah dibuat oleh Sultan Johor dengan Raffles pada tahun 1819 dahulu. Sama seperti perjanjian Sultan Kedah dengan Francis Light pada tahun 1786. Sama seperti Perjanjian Pangkor 1874 yang akhirnya Tanah Melayu jatuh ke tangan British.

Dari zaman penjajah dahulu cita-cita kaum pemodal kapitalis ini untuk memiliki dunia ini tidak pernah padam-padam. Cita-cita kaum pemodal antarabangsa ini untuk menjadikan umat manusia sebagai hamba adalah manifesto New World Order. Kabel-kabel Illuminati saban hari merancang. Hari ini semua strategi telah di rancang. Semua telah di susun. Para banker di belakang Iluminati sedang dalam persediaan akhir untuk melahirkan apa yang mereka katakan – New World Order atau Dunia Bentuk Baru.

Lihatlah nanti bagaimana kabel-kabel Illuminati ini akan memaksa Malaysia untuk menanda tangani Free Trade Agreement. Dalam perjanjian ini tidak ada yang ‘free’. FTA ini akan memaksa kita terus membuka semua pasaran negara kita untuk kaum pemodal antarabanga mencari keuntungan maksima.

New World Order ini adalah dunia baru dimana kedaulatan negara tidak wujud lagi. Rancangan NOW ini sedang diatur – Canada, Amerika dan Mexico telah disatukan – kemudian seluruh Selatan Amerika akan dijerut masuk. Eropah sedang bersatu – ini akan menjerut masuk Afrika dan Timur Tengah. Asia akan dikepalai oleh Jepun yang akan menjerut semua negara di Asia.

Lihat sekarang telah wujud Asean dan Apec untuk Asia , African Union untuk Afrika dan Union of South American Nations untuk Amerika Latin. Semua ini adalah perancangan Illuminati. Semua ini direstui oleh kaum pemodal antarabangsa. Rancangan akhir mereka ialah untuk memastikan semua rakyat dunia ini akan tunduk kepada kuasa mereka.

Dalam masa yang tidak lama lagi manusia akan di cap dengan microchip. Tak percaya? Bukankah idea ini telah terkeluar dari mulut seorang pegawai polis Malaysia tiga tahun dahulu dan berita ini telah dilaporkan dalam Utusan Malaysia. Microchip ini untuk bayi yang baru lahir – atas alasan untuk mengekori penjahat.

Tetapi hakikatnya microchip ini ialah untuk mengawal semua umat manusia agar tunduk kepada sistem ekonomi kapitalis. Umat manusia akan taat bekerja dari jam 9 hingga 5 – bercuti Sabtu Ahad. Jika sopan dan tekun mereka akan dapat gaji untuk membeli kondo, ipod, kancil, kasut Prada, beg Luis Vuitton dan pelbagai jenis ‘biji-biji saga’ yang dijanjikan. Sila baca 1984 oleh George Orwell dan tonton filem Metropolis oleh Fritz Lang.

Ini bukan satu dongeng konspirasi. Ini bukan plot sebuah novel yang belum siap. Ini adalah hakikat politik dunia hari ini. Memahami politik dunia hari ini amat penting. Jika kita gagal untuk memahami garis dan strategi Illuminati maka kita tidak akan melawan. Jika tidak bangun melawan maka umat manusia dalam dunia ini akan dijadikan hamba abdi.